‘MR LANGKAWI’ GUARDINI KEMBALI UNTUK BURU LEBIH BANYAK KEJAYAAN

KUALA LUMPUR: Pemegang rekod terbanyak kemenangan peringkat Le Tour de Langkawi Andrea Guardini kembali memeriahkan kehangatan saingan jelajah berbasikal yang memasuki edisi ke 24 tahun ini bersama sama lima pelumba kelahiran Itali untuk pasukan Pro Benua, CSF Bardiani.

Guardini pastinya terus menjadi tumpuan bagi perebutan jersi Hijau selaku Raja Pecut bagi saingan LTdL yang dijadual bermula dari 6 hingga 13 April.

Pelumba kelahiran Tregnano berusia 29 tahun ini mendapat gelaran Mr Langkawi selepas melakar sejarah tersendiri dengan meraih lima kemenangan peringkat termasuk kedudukan teratas bagi saingan raja pecut meskipun membuat penampilan pertama pada 2011 di mana beliau beraksi untuk pasukan Farnese Vini ketika itu.

Sehingga kini, tiada pelumba yang mendominasi kategori Raja Pecut di perlumbaan berstatus 2.HC ini dan rekod yang dipegang membuktikan betapa mendalam minatnya terhadap sukan ini.

Sejak pertama kali beraksi secara profesional pada 2011, Guardini hanya terlepas edisi 2017 di mana beliau mewakili pasukan UAE Abu Dhabi yang tidak mengesahkan penyertaan untuk beraksi di LTdL.

Guardini berjaya meraih 42 kemenangan peringkat dan 24 daripadanya datang daripada saingab Le Tour de Langkawi.

Dalam misi membina pelumba pelumba dari Itali, Pengarah Bardiani CSF, Roberto Reverberi turut menurunkan Mirco Maestri untuk mengukuhkan lagi kedudukan Guardini ketika melakukan henjutan.

Meskipun mula berkayuh secara profesional pada 2015, Maestri yang berusia 27 tahun memulakan musim ini dengan cemerlang termasuk meraih mata ketika beraksi di Tirreno Adriatico sekaligus mengejutkan nama nama besar ketika itu.

 

Seorang lagi pelumba yang dijangka mencuri tumpuan adalah Alessandro Pessot yang dijangka menjadi salah satu tumpuan bagi saingan LTdL 2019.

Pessot akan membuat penampilan sulungnya di Langkawi dan pernah beraksi di perlumbaan antaranya Milan San Remo minggu lalu malah, berjaya memberi tentangan hebat ketika menyertai jelajah Vuelta Andalucia yang berlangsung bulan lalu.

Selain Guardini dan Pessot, CSF Bardiani turut diperkuatkan dengan kelibat Paolo Simon (26 tahun) dan dua pelumba muda, Michael Bresciani (24 tahun) dan Daniel Savini (21 tahun).

Le Tour de Langkawi yang melibatkan lapan peringkat perlumbaan baru baru ini mengumumkan syarikat petroleum negara, PETRONAS sebagai penaja utama buat pertama kali.

Peringkat pertama dijadual berlangsung dari Kuala Lumpur pada 6 April menuju ke Tampin, Negeri Sembilan.

Lapan peringkat perlumbaan tahun ini juga turut melibatkan pendakian getir atau Queen stages di Genting Highlands malah, Pulau Langkawi juga kembali dimasukkan ke dalam kalendar laluan.

22 pasukan teleh mengesahkan penyertaan bagi perlumbaan edisi tahun ini yang dianjurkan Human Voyage Sdn Bhd.

 

Senarai pelumba CSF Bardiani

Michael Bresciani (Ita), Andrea Guardini (Ita), Mirco Maestri (Ita), Alessandro Pessot (Ita), Daniel Savini (Ita), Paolo Simion (Ita).

Perlumbaan lapan peringkat meliputi jarak 1,234km itu bermula dengan kayuhan menyusuri laluan berbukit dan landai sejauh 176.9km dari perkarangan Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur ke Dataran Tampin Negeri Sembilan.

Kayuhan ke Genting Highlands, yang kembali mewarnai saingan LTdL selepas empat tahun, berlangsung pada hari ke-4 dari Shah Alam. Langkawi pula menjadi hos mula dan penamat bagi dua peringkat terakhir pada 12 April di Pantai Cenang dan 13 April di Pekan Kuah.

Selari dengan tema PETRONAS LTdL 2019 “Sports Unites, Cycling Contributes”, pihak penganjur mengharapkan sokongan padu rakyat Malaysia  untuk keluar beramai-ramai di sepanjang laluan, venue pemula dan penamat bagi menyokong acara dan memberi semangat buat pelumba.

 

Sebanyak 22 pasukan dari kelompok Pasukan Jelajah Dunia, Pro-Benua,  Benua dan Pasukan Kebangsaan akan beraksi pada perlumbaan yang dianjurkan oleh Human Voyage (M) Sdn Bhd.

Peminat sukan di Malaysia dan Eropah boleh mengikuti siaran langsung perlumbaan selama 90 minit dan rangkuman harian selama 30 minit di saluran RTM dan Eurosports di sepanjang lapan hari acara. Penganjur menganggarkan jangkauan liputan ke lebih 100 negara membabitkan 310 juta penonton televisyen dan 70 juta lagi menerusi Cycling.TV.

Pelbagai acara sampingan dan acara berbentuk karnival akan dianjurkan untuk menarik kehadiran dan penyertaan orang ramai si sepanjang laluan dan juga venue mula dan penamat.