TRAVIS MCCABE SEDIA CABAR MR LANGKAWI

SEPANG: Pelumba pasukan Floyd Pro Cycling, Travis Mccabe melaungkan amaran awal kepada pakar pakar pecut 21 pasukan lain saingan untuk merebut podium di jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi  2019 tidak akan menjadi mudah.

 

Lebih lebih lagi kelibat pemenang peringkat sebanyak 24 kali, Andrea Guardini menjadi tumpuan pelumba berusia 29 tahun ini.

 

“Saya pernah beraksi di sini (LTdL) dua tahun lalu dimana saya meraih dua gelaran selaku pemenang peringkat dan podium bagi beberapa kategori lain.

 

“Sudah tentu saya mahu memburu kemenangan bagi edisi tahun ini dan cuba mencari sekurang kurangnya tiga kemenangan,”kata Travis yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Taiwan.

 

Ketika saingan LTdL 2017 beliau beraksi untuk pasukan United Health Care muncul juara bagi peringkat kedua dan kelapan.

 

Pelumba kelahiran Prescott, Arizona ini mengakui cabaran mungkin sedikit sukar apatah lagi bakal bersaing dengan pakar pecut daripada pasukan CSF Bardiani, Andrea Guardini.

 

“Sudah tentu saya ada cara tersendiri untuk bersaing dan mencari kemenangan. Justeru saya mengharapkan yang terbaik bagi perlumbaan ini,”kata Travis lagi.

 

Sebelum turun untuk beraksi di Le Tour de Langkawi 2019, Travis dan pasukannya beraksi di jelajah Taiwan yang berlangsung dari 17 hingga 21 Mac lalu dan meraih tempat ketiga keseluruhan bagi  saingan jersi hijau atau raja pecut.

 

Pasukan: JONATHAN CLARKE (Aus) • EMILE JEAN (Can) •  TRAVIS MCCABE (Aus) • KEEGAN SWIRBUL (USA) • SERGHEI TVTETCOV (Rou) • NICKOLAS ZUKOWSKY (Can).

 

Perlumbaan lapan peringkat meliputi jarak 1,234km itu bermula dengan kayuhan menyusuri laluan berbukit dan landai sejauh 176.9km dari perkarangan Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur ke Dataran Tampin Negeri Sembilan.

 

Kayuhan ke Genting Highlands, yang kembali mewarnai saingan LTdL selepas empat tahun, berlangsung pada hari ke-4 dari Shah Alam. Langkawi pula menjadi hos mula dan penamat bagi dua peringkat terakhir pada 12 April di Pantai Cenang dan 13 April di Pekan Kuah.

 

Selari dengan tema PETRONAS LTdL 2019 “Sports Unite, Cycling Contributes”, pihak penganjur mengharapkan sokongan padu rakyat Malaysia  untuk keluar beramai-ramai di sepanjang laluan, venue pemula dan penamat bagi menyokong acara dan memberi semangat buat pelumba.

 

Peminat sukan di Malaysia dan Eropah boleh mengikuti siaran langsung perlumbaan selama 90 minit dan rangkuman harian selama 30 minit di saluran RTM dan Eurosports di sepanjang lapan hari acara. Penganjur menganggarkan jangkauan liputan ke lebih 100 negara membabitkan 310 juta penonton televisyen dan 70 juta lagi menerusi Cycling.TV.

 

Pelbagai acara sampingan dan acara berbentuk karnival akan dianjurkan untuk menarik kehadiran dan penyertaan orang ramai si sepanjang laluan dan juga venue mula dan penamat.


Don't forget follow us via: