LE TOUR DE LANGKAWI SAMBUT PENYERTAAN SEMULA RESORTS WORLD GENTING! 

 

 

 

Le Tour de Langkawi 2019 (LTdL 2019) ingin menjemput semua rakyat Malaysia untuk menyertai keseronokan dan kemeriahan perlumbaan LTdL 2019 di Resorts World Genting, destinasi pelancongan utama Malaysia yang telah secara rasminya kembali sebagai “Queen Stage” pada Peringkat 4 perlumbaan ini.

 

Untuk makluman, para pelumba akan memulakan pendakian paling mencabar mereka pada Selasa, 9 April 2019 dan akan memasuki Resorts World Genting melalui arah Ulu Yam ke Batang Kali dan perlumbaan akan tamat di puncak Genting Highlands.

 

Bagi memastikan perjalanan yang lancar buat semua peminat dan pengunjung ke Resorts World Genting sepanjang perlumbaan berlangsung, berikut adalah beberapa panduan penting untuk makluman semua:

 

Akses awam

  • Akses jalan raya ke puncak Genting Highlands (jalan naik) untuk orang ramai yang berkenderaan akan terus dibuka sepanjang perlumbaan.

  • Akses jalan raya bagi kenderaan yang turun daripada puncak Genting Highlands akan ditutup sementara daripada pukul 2.30 petang sehingga 5 petang.

  • Sistem penutupan jalan berganti akan diguna pakai di bulatan Gohtong Jaya dan pos pemeriksaan di Awana (jalan naik) ketika lintasan pelumba.

 

Tempat letak kereta awam

  • Banyak ruang tempat letak kereta disediakan bagi orang awam di puncak Genting.

  • Orang awam yang menaiki kereta atau motosikal diminta untuk meletakkan kenderaan di kawasan yang disediakan bagi mengelakkan halangan lalu lintas.

 

Aktiviti berbasikal lain

  • Adalah diingatkan bahawa berbasikal menaiki Resorts World Genting bagi tujuan rekreasi adalah tidak dibenarkan.

  • Penunggang basikal rekreasi tidak akan diberikan akses dan dihalang masuk di beberapa pos pemeriksaan iaitu di Kisang Checkpoint, Batang Kali Checkpoint dan Awana Checkpoint.

 

Memastikan kebersihan dan keselamatan kawasan

  • Peminat sukan berbasikal dan orang ramai adalah dilarang sama sekali untuk membuat pembakaran terbuka samada bara atau arang serta membuka trak makanan di sepanjang jalan sekitar Resorts World/puncak Genting.

  • Selaras dengan semangat mempromosikan pelancongan sukan di Malaysia, dan untuk menjamin keselesaan dan keselamatan semua penonton perlumbaan, para peminat diminta untuk tidak membuang sampah merata-rata dan menjaga kebersihan kawasan terutamanya di tempat-tempat pelancongan. Sila buang sampah anda di tempat yang betul.

 

Orang awam dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan untuk menaiki Resorts World Genting.

 

Bagi semua aktiviti riadah yang lain, orang awam mesti mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pengurusan Resorts World Genting.

 

Kami berharap agar orang ramai dapat mengekalkan integriti perlumbaan di samping mewujudkan suasana yang meriah tetapi saling menghormati di Resorts World Genting.

 

Bagi sebarang maklumat lanjut, sila layari www.ltdlangkawi.my atau ikuti @ltdlangkawi di Facebook, Twitter dan Instagram bagi perkembangan terbaharu.

 

Jumpa anda di Genting Highlands pada 9 April 2019! Mari kita jayakan acara ini dan berikan pengalaman terbaik untuk semua!

 

 


Don't forget follow us via: